15 Oktober : Pregnancy & Infant Loss Remembrance Day

545797_10151135731814335_1575435714_n

Tarikh itu telah berlalu dan aku memang bercadang untuk menulis mengenainya. Walaupun 3 tahun lebih telah berlalu, tidak ada satu hari pun ingatan terhadap bidadari kecilku yang menghuni surgawi luput dalam ingatan. Ia salah satu daripada warna-warni hidup yang sentiasa membayangi aku, terutama apabila aku terpandang anak kecil seusianya.. Apatah lagi melihat kawan-kawan yang bersaing mengandung pada ketika itu, anak mereka semuanya sihat membesar dan ada.

Aku tidak menidakkan takdir..jauh sekali menyesali ujian kecil Allah SWT pada aku ketika itu. Cuma aku sahaja yang tidak tahu cara terbaik  melaluinya.

Me : B, kalau Balqis ada mesti dia dah besar seperti anak ****

Hadi : Hmmmm….

Me : Kalau tidak, anak kita sudah tiga…

Hadi : Hmmm….

Me : I rindu dia…

*Long sigh, aku dan dia. Perbualan itu cenderung mati di situ sahaja.

Dalam tempoh beberapa bulan ini, ada beberapa kawan-kawan aku melalui episod sedih ini. Ada yang directly minta pendapat dan baru-baru ini ada yang memberitahu dia baru saja melaluinya. Aku turut bersedih..percayalah. Sebanyak mana ungkapan sabar aku berikan pada mereka, sebanyak itu jugalah aku menenangkan perasaan aku sendiri. Berita seperti ini seolah satu post-traumatic order yang perlu aku lalui selagi hayat aku ada.

Cahaya Balqis, cahaya mata aku yang pertama. Tubuh merah yang menggigil aku pegang beberapa minit selepas dia dilahirkan. Kalau diikutkan masa itu, aku memang tidak sanggup untuk melihat dia. Biarlah wujud tubuh kecilnya itu tidak aku tangkap dalam minda. Tapi itu anak aku..aku kena kuatkan diri memegang bekas tempat dia diletakkan..menggigil tangan tak payah nak cerita. Airmata memang selebat-lebatnya. Dia sempurna…nafasnya turun naik seperti biasa – tetapi terpaksa dilepaskan kerana organ dalamannya belum cukup dibentuk untuk bertahan walaupun ditempatkan dalam inkubator.

Selepas itu dia pergi..kali terakhir aku melihatnya dia sudah disiapkan untuk disemadikan.

Hari itu adalah satu hari yang sangat panjang…Penantian 6 tahun untuk mendapat cahaya mata berakhir dengan perpisahan jua.

Kepada yang pernah melaluinya, kita kena kuat. Kuat untuk diri sendiri dan kuat untuk suami. Walaupun perasaan luka dan kecewa menguasai diri – percayalah ada orang menerima dugaan lebih hebat daripada dugaan ini.

Dan disetiap kesabaran yang diuji, akan ada warna pelangi yang menganti cerita tadi.

10665369_10153205894684335_6892091550016040664_n

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *